Total Pengunjung (bermula 24 Oktober 2010)

Saturday, January 29, 2011

Selamat Januari 2011

Program Januari 2011.

Program tahun 2011 dimulakan dengan perhimpunan rasmi pertama yang diadakan pada hari Rabu 5 Januari yang lalu. Perhimpunan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Perak, lagu sekolah dan lagu 1Malaysia, diikuti ucapan pembukaan guru bertugas mingguan yang memperkenalkan kumpulan guru yang bertugas pada minggu tersebut. Kemudian murid-murid melakukan lafaz ikrar. Sesuatu yang baharu ialah pada tahun ini
guru-guru juga melafazkan ikrar diketuai oleh PK Pentadbiran, Encik Shamshulbahri b. Ghazali. Seterusnya ucapan guru besar yang meraikan murid-murid baharu dan lama. Murid-murid turut teruja apabila barisan guru-guru turut diberi peluang oleh guru besar untuk memperkenalkan diri seorang demi seorang supaya murid-murid SKTD mengenali setiap guru yang mengajar di sekolah ini. Perhimpunan berakhir lebih kurang pukul 9.40 pagi dan P&P diteruskan seperti biasa. Sesungguhnya ini adalah minggu pertama, perhimpunan pertama, ikrar guru yang pertama, taaruf guru yang pertama dan segala-galanya yang pertama. Moga-moga 2011 menjadikan SKTD pertama dalam segalanya. Selamat meneruskan tahun baharu dengan azam dan usaha yang baharu....


Bacaan Yasin
Pada 7 Januari 2011 telah diadakan program bacaan yasin kali pertama untuk tahun ini. Program telah dijalankan dengan jayanya di Dewan Seri Dermawan. Semoga semua warga SKTD mendapat rahmatNya..Amin

Penutup Program Transisi Tahun 1
Murid-murid Tahun 1 telah diraikan sebagai warga SKTD. Guru-guru yang terlibat secara langsung atau tidak langsung telah berusaha menggerakkan Program Transisi Tahun 1 dengan jayanya. Seribu penghargaan kepada guru-guru terbabit. TERIMA KASIH cikgu!!!


Bakal murid-murid cemerlang sedang menunjukkan bakat.....

Guru besar dan barisan PK turut meraikan murid-murid Tahun 1



Mesyuarat Panitia
Pelbagai Mesyuarat Panitia telah diadakan sepanjang minggu pertama dan kedua Januari 2011.

Orientasi Mata Pelajaran Tahun 4
Untuk murid Tahun 4 pula, murid-murid telah diperkenalkan dengan sukatan mata pelajaran bagi Tahap 2. Program Orientasi Mata Pelajaran telah diadakan pada 10 hingga 14 Januari 2011 bertempat di Bilik Komputer SKTD. Dengan program ini, murid-murid mendapat gambaran yang jelas dengan perjalanan mereka dalam menuntut ilmu di SKTD.






Guru-guru yang telah menabur bakti mereka dalam program ini ialah:
Cik Nur Haslily bt. Marup                 - Bahasa Inggeris ( 10 Jan 2011 / 8.00 - 9.30 pagi )
Encik Zoraimi b. Shariff                   - Matematik ( 10 Jan 2011 / 9.30 - 10.45 pagi )
Pn. Najah bt. Hussain                      - BM Pemahaman ( 11 Jan 2011 / 8.00 - 9.30 pagi )
Pn. Nor Rohanom bt. Osman          - BM Penulisan ( 11 Jan 2011 / 9.30 - 10.45 pagi )
Pn. Norhuda bt. Othman Zailu         - Bimbingan &Kaunseling ( 12 Jan 2011 / 8.00 - 9.30 pagi )
En. Mohamad Azahar b. Adnan      - Kajian Tempatan ( 12 Jan 2011 / 9.30 - 10.45 pagi )
Pn. Norzaihan bt. Zainal Abidin       - Sivik &Kewarganegaraan ( 13 Jan 2011 / 8.00 - 9.30 pg )
En. Shamshulbahri b. Ghazali        - Kemahiran Hidup ( 13 Jan 2011 / 9.30 - 10.45 pagi )
Pn. Norashizah bt. Rashid              - Sains ( 14 Jan 2011 / 8.00 - 9.30 pagi )


5 Minit Anti Dadah
Puan Norhuda bt Othman Zailu telah menyentuh kali pertama tentang isu yang diperjuangkan oleh PPDa pada 19 Januari 2011 sewaktu perhimpunan pagi. Beliau telah memulakan program 5 Minit Anti Dadah dengan topik 'Rokok'. Oleh kerana peralihan penyelaras yang baru, program-program teras PPDa dijalankan secara bertatih. Mujurlah bantuan jawatankuasa guru-guru PPDa telah berjaya menggerakkan misi PPDa walaupun secara perlahan-lahan. Terima kasih daun keladi, lain kali nak minta tolong lagi...


Promosi Motivasi
19 Januari 2011, SKTD telah dikunjungi oleh pakar motivasi daripada Pusat Motivasi dan Pendidikan Elit yang mempromosikan program motivasi mereka pada hujung minggu ini. Murid-murid yang terlibat iaitu semua murid Tahun 6 dan 5 Zamrud telah di'kejut'kan dengan laungan-laungan semangat agar mereka dapat meneruskan sesi persekolahan dengan jayanya. Murid-murid juga dijemput menghadiri program anjuran pusat motivasi ini dengan bayaran tertentu dan di tempat yang dinyatakan dalam program ini.


"A....A.....A......A.....A....kami nak A..... aje..!!!!


Program Penyayang
Telah dilancarkan pada 24 Januari 2011 dalam perhimpunan rasmi.


 Hari Thaipusam
20 Januari 2011. Selamat menyambut Hari Thaipusam kepada semua penganut agama Hindu.

Friday, January 21, 2011

orang baharu

Salam perkenalan. Untuk makluman, sebagai pengganti Cikgu Faizal, saya tidak nafikan banyak tugas beliau telah diserahkan  kepada tanggungjawab saya  untuk diseliakan. Tapi bak kata orang, yang baharu mana nak sama dengan yang lama. Saya cuba untuk menyambung usaha-usaha beliau dalam blog ini. Harap-harap semuanya berjalan lancar, maklumlah, banyak sungguh yang saya kena belajar. Lagi pun dengan kekangan waktu mengajar yang banyak serta tugasan guru kelas dan lain-lain saya amat berharap dapat mencuri masa untuk hal-hal PPDa ni. Saya berharap juga selepas ini, tidak adalah yang 'jemu' dengan pertanyaan saya itu dan ini kepada warga SKTD. Nak pantun boleh?.......Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan, saya cikgu baru belajar.....yang salah ke... yang tak tau ke...tolongle tunjukkan:) -Cikgu Norfatim

Saturday, January 1, 2011

Salam Terakhir Buat Semua...

Assalamualaikum wbr...
Salam Sejahtera,
Warga SKTD yang dikasihi sekalian,

Terlintas di hati saya untuk menulis buat kali terakhir di blog ini. Saya ingin mengucapkan "Salam Terkahir Buat Semua". Ketika diumumkan tentang pertukaran sekolah ke SJK(C) Pei Cheng, Chemor Perak, terimbau semula kenangan ketika berada di SKTD selama 2 tahun.
Banyak pengalaman ditimba sepanjang berada di sini. Terutamanya, semasa membantu sekolah meraih tempat ketiga peringkat kebangsaan bagi kategori BILIK SUMBER PPDa Sekolah Rendah 2009. 2010, sekolah  juga meraih Anugerah Khas PPD Kinta Utara bagi Bilik Sumber PPDa. Diharapkan SKTD akan lebih cemerlang dan gemilang dalam semua bidang.
Penyelaras Bilik Sumber PPDa SKTD akan diambil alih oleh guru yang baru bertukar dari SJK(C) Gunung Rapat. Tahniah diucapkan kepada beliau.
Diucapkan ribuan terima kasih dan pohon seribu kemaafan jika ada silap bahasa dan perbuatan selama ini daripada teman seperjuangan, anak-anak murid cikgu, pihak pengurusan sekolah, AJK PIBG dan para ibu bapa. Buat Guru Besar Hjh. Rafiah Bt. Abdul Razak, walaupun baru berkenalan, komitmen dan kesungguhan serta menyokong penuh semasa saya bertugas di sini amat-amatlah dihargai. Begitu juga, mereka yang lain.
Dipohon juga restu  supaya saya dapat bertugas di SJK(C) Pei Cing dengan lebih baik serta lebih dihargai. Sekian, terima kasih.

Ahmad Faizal Bin Halidi
Penyelaras Bilik Sumber PPDa 2009-2010