Total Pengunjung (bermula 24 Oktober 2010)

Thursday, April 30, 2009

LATIHAN KEBAKARAN KALI KEDUA





Pada pukul 11.05 pagi, 29 April 2009, SKTD mengadakan latihan kebakaran kali kedua. Pada kali ini, guru-guru dan murid-murid tidak dimaklumkan terlebih dahulu seperti latihan kali pertama yang pernah diadakan sebelum ini.


Tujuannya, untuk mengetahui keperihatinan warga SKTD bertindak jika berlaku kebakaran di sekolah. Syukur, jika benar-benar berlaku kebakaran, semuanya akan terselamat. Pihak guru dan murid menyedari langkah-langkah yang perlu diambil semasa latihan kebakaran dilaksanakan.




Kehadiran murid-murid diambil dan murid-murid telah berkumpul di tempat yang telah ditentukan. Seterusnya, murid-murid telah diberikan taklimat kebakaran oleh Pn. Ainul dan En. Muhammad Bin Hassan, PK Hem.


Walaubagaimana pun, terdapat beberapa orang murid yang cedera di siku, kerana bertolak-tolakan semasa menuju ke tempat perhimpunan kebakaran. Begitu juga, terdapat seorang murid pra sekolah menangis ketakutan kerana menyangka benar-benar berlaku kebakaran
.



Sepatutnya murid-murid beratur dengan senyap sambil menutup kipas atau lampu dan berjalan dengan cepat ke tapak perhimpunan yang telah ditetapkan mengikut laluan yang telah ditentukan.




Selepas taklimat, murid-murid beredar masuk ke kelas masing-masing dengan teratur untuk meneruskan P&P hari tersebut. Syabas untuk semua

Monday, April 27, 2009

DIRGAHAYU SKTD

Hari Isnin, pada 27 April 2009, waktu perhimpunan rasmi, acara penyampaian hadiah telah di adakan untuk memberi penghormatan kepada wakil-wakil sekolah yang telah mengharumkan nama sekolah. Seterusnya, pelancaran Minggu Bahasa Melayu dengan tema "Dirgahayu Bahasa Melayu", yang dirasmikan oleh Pn. Hjh. Kamariah Bt. Mohamad.


GURU BESAR SKTD

Tahniah kepada para jagoan kita kali ini.
1. Pertandingan Sajak Karnival Anti Dadah Kelompok 1-6 Daerah Kinta Utara, 18.4.2009, saguhati.
2. Pertandingan Kawad Kaki Daerah Kinta Utara, 18.4.2009, Naib Johan Daerah.
3. Kejohanan Hoki MSSPK Negeri, Naib Johan Negeri.

HEBAT WIRA SEKOLAH!
pINGAT serta piala disampaikan oleh En. Shamsul Bahri Bin Ghazali, PK. Pentadbiran.


PELANCARAN MINGGU BAHASA MELAYU

27 APRIL 2009-30 APRIL 2009


Pelancaran Minggu Bahasa Melayu telah dimulakan dengan majlis berbalas pantun daripada kalangan murid SKTD. Pelbagai aktiviti telah dirancang bermula hari ini sehingga 30 April 2009, hari Khamis.


PN. AISAH , KETUA PANITIA BAHASA MELAYU merangkap Penyelaras Minggu Bahasa Melayu

Konsep kali ini lebih menyeluruh yang melibatkan semua murid SKTD seperti Kuiz Tahun 4, Pertandingan Imlak, Pertandingan Tulisan Cantik, Bengkel Karangan dan sebagainya.
Melalui pelbagai aktiviti dan program yang dirancang sempena Minggu Bahasa Melayu ini diharapkan pencapaian murid SKTD dalam Bahasa Melayu akan lebih baik dan berkualiti. Ini juga akan menimbulkan perasaan kecintaan Bahasa Melayu yang menjadi lambang perpaduan bangsa. Bahasa Jiwa Bangsa.

Saturday, April 25, 2009

GAYA HIDUP SIHAT MELALUI PERLAWANAN FUTSAL


Gambar 1:Pasukan Futsal SKTD
Gambar 2: Cikgu Faizal bersama Pasukan Futsal SKTD

Hari Jumaat, 9.15 malam, 24 April 2009, bertempat di Extreme Park Sunway Tambun, Barisan Jagoan Futsal SKTD sempena Kempen Anti Rokok telah memulakan misi mengadakan perlawanan persahabatan menyahut seruan bersama "Anti Rokok Gaya Hidup Sihat" di kalangan guru-guru lelaki dan warga SKTD keseluruhannya.

Sesi 'warming up'


PERLAWANAN PADA kali ini antara Pasukan Futsal SKTD dan Pemain Taman Bercham Raya. Kehebatan dan ketangkasan yang ditunjukkan oleh pemain kedua-dua pasukan untuk menyumbat gol dengan penuh semangat kesukanan.



Tidak dapat dinafikan Pasukan Futsal SKTD
memberikan saingan sengit kepada pihak lawan. Idea yang dikemukakan oleh Cikgu Meor, Cikgu Naim dan beberapa orang guru lelaki tentang konsep perlawanan futsal anti rokok sebagai salah satu aktiviti yang boleh dimasukkan dalam aktiviti PPDa bersama masyarakat luar adalah cukup baik sekali.


Gaya Hidup Sihat melalui aktiviti futsal berketepatan dengan aktiviti yang berfaedah di samping merapatkan silaturrahim sesama guru dan masyarakat luar. Mesej katakan "Tak Nak Pada Rokok" juga kesampaian kerana tabiat merokok dapat digantikan dengan aktiviti permainan futsal.




Pemain Pasukan Futsal SKTD pada kali ini ialah:

1. Cikgu Shamshul Bahri Bin Ghazali, PK Pentadbiran.
2. Cikgu Hasrunnaim Bin Ahmad.
3. Cikgu Meor Zulkarnaen Bin Zabidin.
4. Ustaz Mohd. Dzulkifly Bin Musanif.
5. Ustaz Mohd. Ikhmal Bin Mukhtar.
6. Cikgu Nor Azlan Shah Bin Mohd. Redhun.
7. Cikgu Zoraimi Bin Shariff.

8. Cikgu Basri Bin Abdullah.

9. Ustaz Kamal Ismady Bin Yusof (Tidak Hadir).

Keputusan perlawanan ialah... (?)

Disini kami ingin mengambil kesempatan mempelawa dan mencabar pasukan futsal lain di sekitar Daerah Kinta, Perak ini untuk berlawan dengan Pasukan Futsal SKTD. Pengurus Pasukan SKTD ialah Ustaz Mohd. Ikhmal Bin Mukhtar, dan boleh dihubungi melalui sekolah kami.

Sunday, April 19, 2009

KARNIVAL ANTI DADAH PERINGKAT KELOMPOK 1 HINGGA 6 KINTA UTARA



18 aPRIL 2009, hari Sabtu SKTD telah menghantar seramai 19 orang peserta untuk meyertai pertandingan mendeklamasikan sajak(1 peserta), boria(15 peserta) dan poster(3 peserta) yang di adakan di SK Tasek Damai. Perasmian penutup dan peyampaian hadiah oleh Tuan Abdul Aziz, Pegawai dari PPD Kinta Utara.

Peserta sekolah kelompok 1 hingga 6 paling ramai menyertai pertandingan sajak, diikuti dengan pertandingan poster dan hanya sebanyak 4 buah sekolah menyertai pertandingan boria. Seramai 4 orang guru mengiringi murid-murid SKTD iaitu Cikgu Ahmad Faizal Bin Halidi, En. Norazlan Shah Bin Mohd. Redhun, Pn. Norzaihan Bt. Zainal Abidin dan diketuai En. Shamshul Bahari Bin Ghazali, PK Pentadbiran.

Cikgu Norashizah Bt. Rashid dan Ustaz Mohd. Ikhmal Bin Mukhtar turut hadir memberi sokongan. Selain itu, para peserta turut diberikan perangsang oleh Pn. Hjh. Kamariah Bt. Mohamad, Guru Besar SKTD yang turut meluangkan masa sebentar menghadiri pertandingan ini. Disamping itu terdapat dua staf sokongan turut membantu menyediakan pasukan boria dan mengiringi mereka.


Sekolah hanya memenangi hadiah saguhati bagi pertandingan mendeklamasikan sajak dan sijil penyertaan bagi pertandingan lain. Walaubagaimana pun, para wakil sekolah telah menunjukkan daya saing yang tinggi.


Penghargaan diberikan kepada Cikgu Norhuda Bt. Othman dan Cikgu Najah Bt. Hussain yang melatih peserta boria. Begitu juga Pn. Saniah Bt. Shaari yang menyediakan sajak dan melatih Adik Muhammad Rusyaidi Bin Mohd. Salleh, 6 Delima. Seterusnya kepada semua warga SKTD secara langsung dan tidak langsung terlibat dalam aktiviti ini. Cuma, nasib tidak menyebelahi kita pada tahun ini. Jangan putus asa, berusaha lagi dengan lebih bersungguh-sungguh.


Friday, April 17, 2009

CERAMAH ANTI MEROKOK TAHUN 6




Pada 17 April 2009, hari Jumaat, satu ceramah berkisar tentang tabiat buruk merokok serta kesannya telah diadakan khusus untuk murid Tahun 6 di Makmal Bahasa . Ceramah disampaikan oleh seorang penceramah daripada Klinik Kesihatan Chemor. Seramai 5 orang staf Klinik Kesihatan Chemor turut hadir.

Kemudian, mereka telah dibawa melawat Bilik Sumber PPDa untuk melihat sendiri bahan-bahan atau maklumat-maklumat yang dipamerkan. Mereka telah meluangkan masa hampir 30 minit di situ.


Murid-murid tahun 6 telah memberikan respons yang positif ceramah yang disampaikan. Memandangkan murid tahun 6 merupakan abang dan kakak paling senior di sekolah, diharapkan tidak terjebak dalam kancah ketagihan merokok apabila mereka di sekolah menengah kelak. Seterusnya menyampaikan info yang diterima kepada keluarga mereka.


Kemungkinan selepas ini ceramah berkaitan anti merokok akan disampaikan kepada seluruh warga SKTD. Diucapkan ribuan terima kasih kepada penceramah serta staf yang memberikan kerjasama dalam menjalankan program PPDa.

Katakan "Tak Nak!" pada rokok.



Thursday, April 16, 2009

AKTIVITI SOAL SELIDIK TABIAT MEROKOK


Pada 10 hb. April 2009, hari Jumaat, satu soal selidik dijalankan untuk Tahun 6. Penyelidikan yang bertajuk "KESAN TABIAT MEROKOK IBU BAPA KE ATAS PRESTASI MURID TAHUN 6 SECARA UMUM 2009".

Seramai 105 orang responden tahun 6 telah mengambil bahagian soal selidik yang dijalankan. Tujuan penyelidikan berdasarkan kajian kes ini adalah untuk mengetahui perbandingan antara anak-anak yang ibu atau bapa yang merokok dan tidak merokok.

Selain itu, soal selidik ini juga memberikan data atau maklumat lain yang berguna untuk diberikan perihatian dan perancangan yang berkesan dan sesuai. Antaranya ialah maklumat kehadiran ke Bilik Sumber PPDa, pengetahuan tentang bahaya dadah, pengetahuan tentang kesan negatif tabiat merokok dan juga penglibatan keluarga dalam kancah penyalahgunaan dadah.

Walaupun tajuk ini boleh dipertikaikan tetapi daripada segi aspek keputusan soal selidik tidak dapat disangkal berasaskan kajian yang pernah dilakukan berkaitan rokok. Fakta menunjukkan terdapat seramai satu bilion manusia terbunuh akibat rokok pada abad ini dan seramai 1.5 bilion perokok di seluruh dunia.
Di Malaysia pula, fakta menunjukkan hampir separuh lelaki Malaysia adalah perokok (sila rujuk laman web http://www.infosihat.gov.my/taknak/KempenTakNak.php ). Penyelidikan ini juga penting sebagai satu asas untuk kajian lanjutan berkaitan kesan tabiat merokok ke atas prestasi akademik anak-anak.

Memandangkan FPK berteras membina kekuatan insan dari segi Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelektual (JERI), dan tabiat merokok akan membantut atau melambatkan usaha ke arah itu(?). Oleh itu usaha KPM kena pada tempatnya dalam memperkenalkan Pendidikan Pencegahan Dadah(PPDa) yang memasukkan elemen keburukan tabiat merokok dan mencegahnya di kalangan murid-murid. Pastinya Sekolah Bebas Dadah 2012 akan tercapai jika usaha dijalankan secara bersungguh-sungguh untuk mencapainya.




Sumber:http://www.youtube.com/watch?v=K5fp9egJQ54&feature=related

Wednesday, April 1, 2009

KARNIVAL KANTIN 2009

Pada hari sabtu ini 4 hb. April 2009, bermula 8.00 pagi, pihak sekolah bersama PIBG akan menganjurkan Karnival Kantin bagi mengutip derma untuk kemajuan pendidikan anak-anak murid.
Warga Sekolah Kebangsaan Tasek Dermawan(SKTD) dengan rasa besar hati menjemput orang ramai untuk memeriahkan lagi Karnival Kantin 2009. Alamat sekolah ialah Sekolah Kebangsaan Tasek Dermawan, Kg. Tersusun Tasek, Bercham, Ipoh Perak.
Pelbagai aktiviti dan gerai jualan dibuka. Orang ramai boleh menggunakan kupon dengan membelinya di kaunter kupon SKTD bermula hari ini sehingga Hari Karnival Kantin sabtu ini. Antara aktivitinya ialah seperti menunggang kuda, menunggang motosikal kecil, pertandingan mewarna, puzzle dan sebagainya.

"OLEH ITU SILALAH DATANG BERAMAI-RAMAI, BERSERONOK SAMBIL MENDERMA"